
Makanan dan sembelihan adalah masalah yang sering mengundang masalah dalam kehidupan seharian umat Islam. Ini kerana kemajuan yang semakin pesat menyebabkan munculnya pelbagai jenis makanan yang tidak diketahui asal sumber makanan tersebut. Banyak makanan yang ada kini tidak diketahui asal usulnya dan tidak tahu akan halal dan haramnya makanan itu yang mana berkaitan dengan cara penyembelihannya, memasaknya dan proses-proses utuk menghasilkan sesuatu makanan itu.
Islam sebagai agama sempurna sangat mengambil berat tentang kebersihan dan halalnya sesuatu makanan itu. Ini adalah untuk menjamin kebersihan rohani dan jasmani umat islam. Sebagaimana firman Allah s.w.t:
"ويحل لهم الطيبت ويحرم عليهم الخبئث......"
Maksudnya : ”Dan menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan bagi mereka segala yang buruk”
) Surah Al’raaf: ayat 157 )
Oleh itu, apa yang dapat dikaitkan disini adalah menyebut nama Allah iaitu membaca basmalah merupakan salah satu perkara penting yang mewujudkan beberapa pendapat mengenai hukumnya. Ianya adalah hukum yang berkaitan yang mempersoalkan mengenai halal atau haram suatu sembelihan itu walaupun tanpa menyebut nama Allah s.w.t.
###PENDAPAT MENGIKUT MAZHAB
1. MAZHAB SYAFIE’
Menurut Mazhab Syafie’, hukum membaca basmalah ketika sembelihan adalah wajib secara mutlak. Pendapatnya ini bersamaan dengan pendapat Mazhab Zhahiri, Ibnu Umar dan Ibnu Sirin di dalam kitab ‘Bidayatul Mujtahid’. Menurut Imam Syafie’ dan para pengikutnya pada dasar riwayat Ibnu Abbas dan Abu Hanifah hukumnya adalah sunat muakkad. Perbezaan pendapat ini disebabkan perbentangan ayat al-Quran dengan hadis. Ayatnya ialah :
"ولا تاکلوا مما لم يذکر اسم الله عليه واءنه لفسق."
Maksudnya : “Dan janganlah kamu memakan binatang-binatang yang tidak disebut nama Allah ketika menyembelihnya. Sesungguhnya perbuatan yang semacam itu adalah suatu kefasikan.”
( Surah al-An’am : ayat 121 )
Hadis yang bertentangan dengan ayat tersebut ialah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Malik dari Hisyam dari ayahnya, dia berkata :
سئل رسول الله صلى الله عليه وسلم فقيل : يا رسول الله! ان ناسا من اللبادية ياتوننا بلحمان ولا ندري اسموا الله عليها ام لا, فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم : سموا الله عليها ثم کلوها
Maksudnya : “Rasulullah s.a.w. pernah ditanya, ‘Wahai Rasulullah! Orang-orang dari pendalaman membawa kami daging yang banyak, namun kami tidak tahu apakah mereka saat menyembelih menyebut nama Allah atau tidak.’ Maka baginda menjawab, ‘Sebutlah nama Allah atas daging-daging itu lalu makanlah!’
Imam Syafie’ tidak sependapat dengan Imam Malik yang mengatakan ayat al-Quran diatas menghapuskan hukum yang ada pada hadis tersebut dan memungkinkan hadis tersebut tejadi di masa awal Islam. Imam Syafie’ berpendapat bahawa ayat al-Quran di atas di turunkan di Mekkah, sedangkan hadis tersebut dilihat dari lahirnya terjadi di Madinah, maka tidak harus saling menghapus, sehingga beliau mencetuskan hukum sunat muakad.
Jumhur menggabungkan bahawa menyebut nama Allah adalah sebahagian syarat-syarat sah sembelihan kecuali pendapat Imam Syafie’ yang mengangap menyebut nama Allah atas sembelihan adalah sunah. Jika orang yang menyembelih tidak menyebutnya walaupun dengan sengaja, maka sembelihannya tetap halal.
Pendapat Mazhab Syafie’ dan satu riwayat dari Malik mengatakan bahawa menyebut nama Allah adalah sunah. Menurut mereka, halal sembelihan secara mutlak, baik disebut nama Allah atasnya ataupun tidak, samada tidak menyebut nama Allah dengan sengaja mahupun lupa. Menurut pendapat yang paling sahih makruh tanzih jika tidak menyebut nama Allah dengan sengaja.
Seterusnya, Mazhab Syafie’ dan ulama-ulama lain menguatkan kenyataan bahawa menyebut nama Allah adalah suatu sunah dan meniggalkannya walaupun dengan sengaja tidaklah mempengaruhi kehalalan sembelihan. Mereka mengemukakan dalil dari al-Quran dengan firman Allah Taa’la :
حرمت عليکم الميتة والدم ولحم اخنزير وما اهل لغير الله به والنخنقة والموقوذة والمترردية والنطيحة وما اکل السبع الا ما ذکيتم
Maksudnya : Diharamkan bagimu ( memakan ) bangkai, darah, daging babi, ( daging haiwan ) yang disembelih atas nama selain Allah, yang tercekik, yang dipukul, yang jatuh, yang ditanduk, dan yang diterkam binatang-binatang buas, kecuali yang sempat kamu menyembelihnya
( Surah al-Maidah : ayat 3 )
Ayat ini membolehkan haiwan yang disembelih walaupun tidak disebut nama Allah kerana menyebut nama Allah itu bukanlah suatu bahagian yang dapat difahami dari penyembelihan.
Allah juga berfirman :
وطعام الذين اوتوا الکتاب حل لکم
Maksudnya : Makanan ( sembelihan ) orang-orang yang diberi al-Kitab itu halal bagimu ( Surah al-Maidah : ayat 5)
Ayat ini membolehkan memakan makanan ahli Kitab, walaupun tiada penyebutan nama Allah atas sembelihan mereka. Hal ini menunjukkan bahawa menyebut nama Allah bukanlah suatu yang wajib. Sekiranya menyebut nama Allah menjaddi suatu syarat, tentu tidak halal sembelihan yang diragukan mengenai penyebutan nama Allah atasnya kerana apabila sembelihan ahli kitab yang menyebut nama Allah diragukan dapat diterima, apalagi sembelihan orang muslim yang lisannya tidak menyebut nama Allah, namun hatinya menyebut nama Allah, sudah tentu hal ini utama untuk diterima.
Selain itu, terdapat juga dalil dari hadis Nabi Muhammad s.a.w. yang diriwayatkan dari Aisyah r.a. “ Sesungguhnya, ada beberapa orang telah bertanya, ‘Ya Rasulullah! Ada suatu kaum datang kepada kami dengan membawa daging, tetapi kami tidak mengetahui apakah mereka menyebut nama Allah ketika menyembelih atau tidak.’ Baginda bersabda ‘Sebutlah nama Allah ( bacalah basmalah ) oleh kalian dan makanlah.” Aisyah berkata, “Dan mereka adalah orang-orang yang baru keluar dari kekufuran” ( H.R. Bukhari ).
Hadis ini benar-benar menjelaskan bahawa menyebut nama Allah bukanlah suatu syarat mengenai kehalalan sembelihan kerana jika demikian Rasulullah s.a.w. tidak akan menerangkan kepada mereka samada memakan sembelihan itu ataupun tidak. Di dalam hal ini Baginda memberi kemurahan kepada mereka untuk memakannya, sekalipun masih diragukan mengenai penyebutan nama Allah ketika menyembelih.
Sekiranya Baginda menyuruh mereka menyebut nama Allah ( membaca basmalah ) ketika hendak memakannya. Menyebut nama Allah ketika hendak makan disunatkan menurut Ijma’ Ulama’, sedangkan menyebut nama Allah yang disunatkan itu tidak dapat menjadi penganti menyebut nama Allah yang wajib. Hal ini menunjukkan bahawa menyebut nama Allah ketika menyembelih adalah sunat, dimana apabila meninggalkannya tidak mempengaruhi kehalalan sembelihan sekalipun dengan sengaja.
Disamping itu juga, terdapat bantahan pendapat Mazhab Syafie’ terhadp Jumhur Ulama’. Mazhab Syafie’ membantah dalil-dalil yang dikemukakan oleh jumhur dan Mazhab Dhahiri dengan bantahan sebagai berikut, dengan dalil dari al-Quran :
"ولا تاکلوا مما لم يذکر اسم الله عليه واءنه لفسق."
Maksudnya : Dan janganlah kamu memakan binatang-binatang yang tidak disebut nama Allah ketika menyembelihnya. Sesungguhnya, perbuatan semacam itu adalah suatu kefasikan.
( Surah al-Ana’am : ayat 121 )
Tidak sesuai dalil diatas difardukan penyebutan nama Allah kerana larangan dalam ayat ini khusus mengenai haiwan yang disembelih untuk dipersembahkan pada berhala-berhala dan diharamkan menurut Ijma’. Dalil yang di atas hal tersebut adalah seperti, kaum muslimin sepakat bahawa orang yang memakan sembelihan tanpa menyebut nama Allah adalah fasik kerana Allah s.w.t. berfirman :
واءنه لفسق
Maksudnya : Sesungguhnya perbuatan yang semacam itu adalah suatu kefasikan
( Surah al-Ana’am : ayat 121 )
Jumhur menyanggah bantahan yang dikemukakan oleh pendapat Mazhab Syafie’ bahawa yang dimaksudkan bukanlah sebab turun ayat secara khusus, melainkan lafaz yang bersifat umum. Perkataan jumhur ini mungkin boleh diperkenankan bila ayat tersebut bersifat umum, tetapi ayat tersebut ditakhsiskan dengan haiwan yang disembelih atas nama selain dari Allah.
Jumhur membantah dalil-dalil yang dikemukakan oleh pendapat Mazhab Syafie’, iaitu seperti ayat al-Quran :
حرمت عليکم الميتة والدم ولحم اخنزير وما اهل لغير الله به والنخنقة والموقوذة والمترردية والنطيحة وما اکل السبع الا ما ذکيتم
Maksudnya : Diharamkan bagimu (memakan) bangkai, darah, daging babi, (daging haiwan) yang disembelih atas nama selain Allah, yang tercekik, yang dipukul, yang jatuh, yang ditanduk. Yang diterkam binatang buas, kecuali sempat kamu menyembelih.
( Surah al-Maaidah : ayat 3 )
Maksudnya disini ialah, “kecuali kamu sempat menyembelihnya dan menyebut nama Allah ketika menyembelihnya.” Sebagaimana ditetapkan dengan dalil-dalil, seperti firman Allah Taa’la :
"ولا تاکلوا مما لم يذکر اسم الله عليه واءنه لفسق."
Maksudnya : Dan janganlah kamu memakan binatnag-binatang yang tidak disebut nama Allah ketika menyembelihnya. Sesungguhnya, perbuatan yang semacam itu adalah kefasikan.
( Surah al-Ana’am: ayat 121)
Pendapat mazhab Syafie’ yang mengatakan bahawa menyebut nama Allah atas sembelihan adalah sunat, telah dirajihkan. Ini bermaksud, sembelihan yang tidak diketahui keadaannya samada ketika sembelihan disebut nama Allah ataupun tidak adalah halal, menurut semua pendapat.
2. MAZHAB HANAFI DAN MALIKI
Mazhab Hanafi dan Maliki mempunyai pandangan serta pendapat yang sam dalam hal ini. Menurut pendapat yang sahih di antara Imam Hanafi dan Maliki, dan yang masyhur dari pendapat Mazhab Hanbali mengatakan bahawa menyebut nama Allah di atas sesuatu sembelihan adalah wajib hanya dalam keadaan ingat. Maka dengan demikian itu, halal sembelihan yang tidak disebut nama Allah atasnya apabila lupa, tetapi haram sembelihan yang tidak disebut nama Allah atasnya apabila sengaja.
Pendapat mereka dan para Ulama’ yang mneguatkan mereka atas wajibnya menyebut nama Allah dalam keadaan sengaja ( tidak ketika lupa ) telah mengemukakan dalil dari al-Quran :
ولا تاکلوا مما لم يذکر اسم الله عليه واءنه لفس.
Maksudnya : Dan janganlah kamu memakan binatnag-binatang yang tidak disebut nama Allah ketika menyembelihnya. Sesungguhnya, perbuatan yang semacam itu adalah kefasikan.
( Surah al-Ana’am: ayat 121 )
Dalil mereka sama dengan dalil Imam Syafie’, tetapi bagi mereka ayat ini melarang memakan haiwan yang tidak disebut nama Allah ketika menyembelihnya, bila dilakukan dengan sengaja bukan kerana lupa. Apabila lupa ( tidak sengaja ), Syara’ menggolongkannya sebagai orang yang menyebut nama Allah. Disamping itu, orang yang lupa tidaklah sama sekali meninggalkan menyebut nama Allah dalam hatinya. Sebagaiman sabda Nabi Muhammad s.a.w. :
تسمية الله في قلب کل مسلم
Maksudnya : Menyebut nama Allah berada dalam setiap hati orang muslimin.
Hadis ini bermaksud tidaklah mempengaruhi kehalalan sembelihan sekiranya tidak menyebut nama Allah dalam keadaan lupa, kerana nama Allah telah ada di dalam hati setiap Muslim.
Seterusnya dalil dari hadis yang diriwayatkan dari Sai’dbin Manshur dari Rasyid bin Rabia’h. Dia mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda :
ذبيحة المسلم حلال وان لم يسم مالم يتعمد
Maksudnya : Sembelihan orang muslim adalah halal, sekalipun tidak menyebut nama Allah apabila tidak sengaja.
Manakala sembelihan orang muslim adalah halal sekiranya tidak menyebut kalimah Allah dengan tidak sengaja. Hal ini berpandukan kepada hadis Nabi Muhammad s.a.w. :
ان الله وضع عن امتى الخطا والنسيان وما استکر هوا عليه
Maksudnya : Sesungguhnya, Allah menghilangkan dari umatku dosa kerana kekeliruan, lupa dan dipaksa. ( H.R. Ibnu Majah dan Ibnu Hiban )
Di dalam hadis ini menunjukkan dalil bahawa orang yang tidak menyebut nama Allah kerana lupa tetap menjadikan sembelihan itu halal, kerana orang tersebut tidak sama dengan orang yang sengaja tidak menyebut nama Allah. Orang yang sengaja tidak menyebut nama Allah seolah-olah meniadakan apa yang ada di dalam hatinya. Halnya lain dengan orang yang tidak menyebut nama Allah kerana lupa, ianya tidaklah membawa kepada kefasikan.
Seterusnya pendapat Mazhab Hanafi dan Maliki mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan tasmiyyah ialah menyebut nama Allah tidak khusus dengan bismillah, maka boleh menyebut dengan nama Allah yang lain, samada disertai sifat seperti ucapan Allahu Akbar, Allahu A’dham, Allahu Rahman, Allahhu Rahim, ataupun seperti Allahu, Ar Rahman, Ar Rahim, dan dengan demikian itu boleh dengan tasbih, tahmid dan tahlil.
Mereka mengemukakan dalil untuk menguatkan hujah mereka dari al-Quran, Allah s.w.t. berfirman :
فکلوا مما ذکر اسم الله عليه ان کنتم بايته موٴمنين ومالکم الا تاٴکلوا مما ذکر اسم الله عليه
Maksudnya : Maka makanlah binatang-binatang ( yang halal ) yang disebut nama Allah ketika menyembelihnya, jika kamu beriman kepada ayat-ayat-Nya. Mengapa kamu tidak mahu memakan ( binatang-binatang yang halal ) yang disebut nama Allah ketika menyembelihnya.
( Surah al-Ana’am : ayat 118-119 )
Pendapat yang rajah ialah orang yang menyembelih ditetapkan mengucapkan bismillaah, dan ucapan selain itu tidak menempati kedudukannya. Ini kerana pengucapan tasmiyyah secara umum adalah ucapan bismillah dan juga telah ditetapkan bahawa Rasulullah s.a.w. apabila menyembelih mengucapkan Bismillahi Allahu Akbar. Tasmiyyah dilakukan pada waktu menyembelih, iaitu diucapkan pada waktu meletakkan pisau, bukan sesudahnya, dan boleh mendahulukan tasmiyyah dari waktu penyembelihan waktu yang tidak lama.
3. MAZHAB HANBALI
Dalam mazhab Dahiri dan satu riwayat dari pendapat mazhab Hanbali mengatakan bahawa menyebut nama Allah itu fardhu secara mutlak, walaupun dalam keadaan ingat mahupun lupa. Tidak halal sekiranya memakan sembelihan yang tidak tidak disebut nama Allah ke atasnya. Tidak halal sembelihan itu juga, sekiranya terlupa secara sengaja ataupun tidak sengaja.
Menyembelih ditetapkan mengucap Basmalah dengan maksud tasmiyyah. Walaupun menyebut nama Allah dalam nas-nas Al-Quran bersifat mutlak, namun perbuatan Rasulullah saw yang menyembelih dengan mengucapkan Bismillahi Allaahu Akbar telah mengatasi kemutlakan itu.
Antara dalil yang menunjukkan wajib menyebut nama Allah secara mutlak, baik sengaja ataupun lupa antaranya ialah:
" ولا تأكلوا مما لم يذكراسم الله عليه وانه لفسق..... "
“Dan janganlah kamu memakan binatang-binatang yang tidak disebut nama Allah ketika menyembelihnya. Sesungguhnya, perbuatan yang semacam itu adalah suatu kefasikan.”
( Surah Al An’aam: ayat 121 )
Ayat di atas menunjukkan bahawa memakan haiwan yang tidak disebut nama Allah adalah haram dan perbuatan memakan haiwan yang disembelih tanpa menyebut nama Allah adalah suatu kefasikan. Perbuatan terlupa atau sengaja menyebut nama Allah ketika sembelihan adalah haram kerana dalam ayat di atas tidak membezakan antara keduanya.
Selain itu, dalam menguatkan lagi hujahnya yang mengatakan haram jika sembelihan itu tidak disertakan dengan menyebut nama Allah adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Adi bin Hatim dari Nabi s.a.w, sabdanya:
" اذا ارسلت من كلا بك المعلمة وذكرت اسم الله عليه فكل مما امسكن عليك الا ان يأكل الكلب فلا تأكل فانى اخاف ان يكون انما امسك على نفسه "
Maksudnya : ”Apabila kamu melepaskan sebahagian anjing-anjingmu yang terlatih dan kamu menyebut nama Allah ketika melepaskannya, maka makanlah buruan yang ditangkapnya untukmu, kecuali apabila anjing itu memakannya, janganlah makan kerana sesungguhnya aku khuatir anjing itu menangkap buruan itu hanya untuk dirinya sendiri” ( Muttafaq Alaih ).
Hadis nabi yang diriwayatkan dari Rafi’ bin Khadij, bersabda nabi s.a.w, ”Apa sahaja yang dapat mengalirkan darah dan menyebut nama Allah atasnya ketika menyembelihnya, maka makanlah selama benda itu bukan gigi atau kuku” ( H.R Jama’ah ).
Kedua-dua hadis tersebut menunjukkan bahawa disyariatkan menyebut nama Allah kerana Rasulullah s.a.w. Tidak halal sembelihan itu jika tidak disertakan dengan nama Allah ketika menyembelih. Dalam hadis pertama dijelaskan mengenai haiwan buruan yang halal dagingnya sekiranya disertakan menyebut nama Allah sewaktu melepaskan anjing untuk menangkap haiwan buruan yang diingini. Ianya akan dikira halal selagi anjing tersebut tidak memakan hiwan buruan itu. Ini kerana, pemburu tersebut telah membaca basmalah sewaktu melepaskan anjing tersebut.
Kemudiannya, hadis kedua pula menyebut bahawa halalnya sesuatu sembelihan sekiranya menyebut nama Allah. Ini kerana, bagi pendapat mazhab Hanbali menyebut nama Allah adalah wajib dilakukan dan tidak sempurna sembelihan itu sekiranya tidak menyebut nama Allah. Pendapat ini boleh diikuti kerana mempunyai bukti-bukti yang kukuh.
Walaubagaimanapun, ada juga sesetengah pendapat yang membantah mengenai pendapat yang telah dikemukakan oleh mazhab Dhahiri tentang menyebut nama Allah ketika sembelihan adalah suatu yang fardhu secara mutlak. Jumhur mengemukakan dalil mengenai sembelihan yang tidak disebut nama Allah kerana lupa, dan ianya adalah halal. Dalil yang menguatkan penyataan tersebut adalah berdasarkan hadis tersebut:
" ان الله وضع عن أمتى الخطأ و النسيان و ما استكر هوا عليه "
”Sesungguhnya, Allah menghilangkan dari umatku dosa kerana kekeliruan, lupa, dan terpaksa.”
Selain itu, orang yang lupa juga tidaklah menjadi fasik dan bagi orang muslim yang lupa menyebut nama Allah itu dianggap menyebutnya. Jika dia dalam keadaan sedar, maka dia harus menyebut nama Allah berdasarkan pendapat jumhur ulama.
Dapat dijelaskan disini bahawa, menyebut nama Allah itu di anggap suatu fardhu yang mutlak oleh pendapat mazhab Hanbali. Sekaligus dapat diketahui disini bahawa bagi pendapat ini menyebut nama Allah iaitu membaca basmalah adalah perkara yang wajib dan ianya amat dituntut bagi pendapat ini. Hal ini adalah berdasarkan beberapa hadis yang dikemukakan.
Walaupun demikian, terdapat juga perselisihan pendapat mengenai hal ini di antara pendapat mazhab Hanbali dan jumhur ulama. Ini kerana, bagi jumhur ulama boleh dimakan suatu sembelihan itu biarpun penyembelih tersebut telah terlupa untuk menyebut nama Allah.
###PENDAPAT ULAMA MENGENAI SEMBELIHAN AHLI KITAB
Ahli kitab adalah orang-orang yang memeluk agama Yahudi atau Nasrani sebelum adanya perubahan dan penyelewengan terhadap agama islam. Mereka merupakan golongan yang patuh kepada agama. Namun begitu, setelah timbulnya penyelewengan dan pembelokan terdapat beberapa perkara serta masalah yang dipersoalkan oleh para ulama. Salah satu daripadanya adalah masalah dalam sembelihan yang mana persoalan mengenai halal atau haram sembelihan ahli kitab. Terdapat juga perbezaan di antara ulama fikih mengenai permasalahan ini.
Sebahagian ulama fikih mengatakan, bahawa mereka tidak disebut ahli kitab secara mutlak kerana mereka adalah orang-orang musyrik. Ini kerana terdapat penyelewengan di dalam agama yang dianuti oleh mereka. Bagi Yahudi, mereka meyakini bahawa Uzair adalah putera Allah, manakala Nasrani pula meyakini bahawa al-Masih adalah putera Allah dan mereka juga mengatakan bahawa wujudnya tiga tuhan di alam ini. Hal ini menunjukkan dengan jelasnya kemusyrikan yang dilakukan oleh orang-orang Nasrani dan Yahudi.
Walaupun begitu, ada sesetengah golongan dari para ulama fikih yang berpendapat bahawa mereka itu adalah ahli kitab. Sebabnya adalah dilihat melalui asal akidahnya. Biarpun mereka melakukan penyelewengan, penghapusan serta perubahan namun itu tidaklah mempengaruhi penyembelihan mereka serta perkara-perkara lain. Namun begitu, pada kali ini ianya hanya ditekankan berdasarkan tajuk iaitu sembelihan. Pendapat ini adalah rajih, dan ianya berdasarkan beberapa ayat al-Quran yang diturunkan oleh Allah s.w.t. Antaranya ialah:
" لم يكن الذين كفروا من اهل الكتاب والمشركين...... "
“Orang-orang kafir dari golongan ahli kitab dan orang-orang musyrik tersendiri yang bukan ahli kitab.“
( Surah al-Bayyinah: ayat 1 )
Dan juga, Allah s.w.t berfirman:
" انّ الّذين امنوا والّذين هادوا والصّابئين والنّصارى والمجوس والّذين اشركوا...... "
“Sesungguhnya, orang-orang beriman, orang-orang Yahudi, orang-orang Shabi’in dan orang-orang musyrik…..”
( Surah al-Hajj: ayat 17 )
Sesungguhnya, firman Allah s.w.t:
" اتّخذوا احبارهم ورهبانهم اربابا من دون الله والمسيح ابن مريم وما امروا الا ليعبدوا الها وّاحدا لا اله الاّ هو سبحانه عمّا يشركون. "
“Mereka menjadikan orang-orang alimnya dan rahib-rahibnya sebagai tuhan selain Allah, dan ( juga mereka mempertuhankan ) al-Masih putera Maryam; padahal mereka hanya disuruh menyembah Tuhan Yang Maha Esa; tidak ada Tuhan selain Dia. Maha suci Allah yang dari apa yang mereka persekutukan.”
( Surah at-Taubah: ayat 31 )
Selain itu, terdapat juga beberapa kisah mengenai halalnya makan sembelihan ahli kitab iaitu, kisah yang pertama ialah ketika para sahabat menawan Syam, Iraq dan Mesir, mereka telah makan sembelihan ahli kitab iaitu Yahudi dan Nasrani. Padahal hal ini telah terjadi setelah berlakunya perubahan dan penyelewengan kerana ahli kitab yang sebelumnya telah pun meninggal dunia sebelum al-Quran diturunkan.
Hal ini diterangkan adalah untuk menerangkan kerajihan pendapat yang menghalalkan sembelihan-sembelihan ahli kitab yang ada pada masa sekarang, sekalipun, mereka telah disifatkan musyrik dan kufur yang terjadi daripada perbuatan mereka yang bid’ah. Sembelihan mereka dikira halal berdasarkan kepada agama asalnya.
1. SEMBELIHAN AHLI KITAB YANG TIDAK MENYEBUT NAMA ALLAH
Berdasarkan pendapat para ulama, terdapat dua keadaan sembelihan ahli kitab yang tidak disebut nama Allah ke atas sembelihan iaitu, keadaan yang pertama adalah keadaan sembelihan yang tidak disebut nama Allah dan juga tidak disebut nama selain Allah atasnya. Manakala keadaan kedua adalah, keadaan sembelihan yang disebut atas nama selain Allah, seperti al-Masih, salib atau lain-lain lagi. Kedua-dua keadaan ini terdapat pendapat-pendapat ulama yang mewakili setiap satunya.
Mengenai sembelihan ahli kitab pada keadaan pertama, terdapat dua pendapat para ulama yang menjelaskan mengenai hukum memakan sembelihan ini. Pendapat pertama mengatakan bahawa sembelihan tersebut tidak halal secara mutlak, walaupun kita mengatakan bahawa menyebut nama Allah itu suatu syarat halal sembelihan tanpa ada perbezaan antara orang muslim dan ahli kitab. Oleh itu, disyaratkan menyebut nama Allah sewaktu sembelihan bagi orang muslim begitu juga ke atas ahli kitab. Justeru, sekiranya kita mengatakan bahawa menyebut nama Allah bukan suatu syarat mengenai halalnya sembelihan orang muslim, maka begitu jugalah bagi sembelihan ahli kitab. Ini kerana, menyebut nama Allah ada pada setiap hatiorang muslim dan tidak pada hati ahli kitab.
Pendapat kedua pula mengatakan bahawa sembelihan tersebut halal secara mutlak walaupun menyebut nama Allah itu menjadi syarat ataupun tidak menjadi syarat. Demikian itu, sembelihan ahli kitab adalah halal, sekalipun dia tidak menyebut nama Allah atas sembelihannya berdasarkan firman Allah s.w.t yang bersifat umum iaitu melalui surah al-Maidah, ayat 5.
Pendapat yang rajih adalah pendapat yang mengatakan halal sembelihan ahli kitab secara mutlak, baik menyebut nama Allah ataupun tidak atas sembelihannya. Ini adalah berdasarkan firman Allah s.w.t melalui surah al-Maidah, ayat 5. Apabila kita mensyaratkan menyebut nama Allah mengenai kehalalan sembelihan mereka, maka sembelihan-sembelihan mereka tidak halal bagi kita. Dengan demikian tidak bererti syarak yang menghalalkan sembelihan mereka bagi kita. Manakala, apabila menyebut nama Allah adalah sunnah bila dinisbahkan bagi orang muslim yang menyembelih dan boleh dimakan sembelihannya bila dia tidak menyebut nama Allah walaupun dengan sengaja, maka atas dasar itu lebih utama dihalalkan sembelihan ahli kitab yang tidak menyebut nama Allah ke atasnya.
Seterusnya adalah bagi keadaan yang kedua yang mana sembelihan ahli kitab berdasarkan menyebut nama seperti al-Masih dan Uzair, ada tiga pendapat para ulama yang menjelaskan hal ini. Pertama adalah pendapat yang mengharamkannya, iaitu pendapat mazhab Syafi’i, Hanafi dan jumhur ulama mazhab Hanbali. Alasannya adalah berdasarkan firman Allah s.w.t, iaitu:
" انّما حرّم عليكم الميتة والدّم ولحم الخنزير وما اهلّ به لغير الله "
“sesungguhnya, Allah hanya mengharamkan bagimu bangkai, darah, daging babi dan binatang yang ( ketika disembelih ) disebut ( nama ) selain Allah.”
( Surah al-Baqarah: ayat 173 )
Pendapat yang membolehkan, iaitu pendapat golongan dari, mazhab Hanbali dan sebahagian salaf. Alasannya adalah kerana hal ini termasuk makanan mereka dan sesungguhnya Allah telah membolehkan kita memakan makanan mereka, dan Allah s.w.t sememangnya mengetahui bahawa mereka menyebut nama selain Allah. Sebahagian ulama ini mengatakan, “sesungguhnya, ahli kitab itu menyembelih kerana Allah, dan dalam pokok agama mereka tidak ada maksud lain dengan ibadahnya selain kepada Allah.
Pendapat yang ketiga adalah pendapat mazhab Maliki, mengatakan bahawa apa sahaja yang disembelih oleh ahli kitab dengan menyebut nama al-Masih atau Uzair adalah cara mereka mendekatkan diri mereka dengan tuhan mereka. Sebagai contohnya, mereka menyembelih untuk dijadikan pengorbanan untuk tuhan-tuhan mereka dengan membiarkan sembelihan tersebut dan tidak memakannya. Maka dalam hal ini, haram bagi muslim untuk memakan sembelihan tersebut kerana sembelihan tersebut bukan makanan mereka yang mereka manfaatkan. Namun begitu, sekiranya mereka sembelih untuk diri mereka dengan tujuan untuk dijadikan makanan dan semasa menyembelih mereka menyebut nama-nama tuhan mereka, maka sembelihan itu oleh dimakan. Ini adalah berdasarkan surah al-Maidah, ayat 5. Tetapi makruh tanzih kerana penyembelihan ini dimaksudkan oleh hati orang yang menyembelihnya sebagai penyembelihan atas nama selain Allah s.w.t.
Pendapat yang rajih adalah diharamkan sembelihan ahli kitab bila mereka menyebut nama al-Masih, salib atau Uzair atas sembelihannya. Walaupun terdapat dalil yang dikemukakan iaitu berdasarkan surah al-Maidah, ayat 5 tetapi tidak disyaratkan kita harus mendengar hal tersebut dari ahli kitab ketika menyembelih. Namun, sekiranya kita tidak mendengar apa yang mereka sebut atas sembelihannya, maka sembelihan tersebut halal biarpun mereka mengucapkan hal tersebut selama kita tidak mendengarnya.
Sekelompok ahli ilmu berkata, “apabila kamu mendengar ahli kitab menyebut nama selain Allah atas sembelihannya, janganlah kamu memakan sembelihannya itu.” Dan dari kalangan sahabat yang mengatakan hal yang sama juga, iaitu Ali, Aisyah dan Ibn Umar, dan demikian itu adalah pendapat Thawus dan Hasan.
Secara umum, yang rajih adalah bila disembelih oleh orang muslim, maka hala sembelihan itu. Manakala, jika disembelih oleh ahli kitab dan dia menyebut apa yang diyakininya iaitu nama tuhannya, dan kita mendengarnya, maka haram sembelihan itu. Namun, sekiranya kita tidak mendengarnya, maka halal sebagaimana penjelasan yang telah diberikan.
BIBLIOGRAFI
1. Al Ath’imah Wadz Dzabaa-ih Fil Fiqhil Islaami, Hukum Makanan dan Sembelihan dalam Pandangan Islam, DR. Abu Sari Muhammad Abdul Hadi, alih bahasa : Drs. H. Sofyan Suparman. Cetakan pertama : 1997, oleh TRIGENDA KARYA.
2. Matla’ al-Badrain, diterbitkan oleh JABATAN AGAMA ISLAM WILAYAH PERSEKUTUAN, ( JABATAN PERDANA MENTERI ), BANGUNAN SULAIMAN, JALAN DAMANSARA, 50676 KUALA LUMPUR. 1413 H / 1993 M.
3. Kifayatul Akhyar ( Kelengkapan Orang Soleh ), bahagian kedua. Karya : Imam Taqiyuddin Abu Bakar bin Muhammad al-Husaini. Alih bahasa : Syed Ahmad Semait, K.H. Syaifuddin Anwar, K.H. Mishbah Musthafa. Diedit semula oleh : Syed Ahmad Semait. PUSTAKA NASIONAL PTE LTD SINGAPURA.
4. Al-Fiqhu Manhaji, Dr. Mustofa al-Khin, Dr. Mustofa al-Bugho dan Ali Asy-Syarbaji. Kitab Fikah, Mazhab Syafie’. Penterjemahan : Ustaz Juanda bin Jaya. Disemak : Ustaz Anwar Fakhri bin Omar dan Ustaz Mohd Asri bin Hashim.
5. Pedoman Lengkap Fiqh Islam ( jilid 2 ), Muhammad Abd. Hamid, JASMIN ENTERPRISE, Kuala Lumpur. Cetakan pertama 2004.
6. Mutiara Fiqh, susunan Ustaz Ismail Hj. Ali, PERNIAGAAN JAHABERSA, Johor Bharu, cetakan pertama 1997.
7. Pedoman Ilmu Fiqh, Hj. Osman bin Jantan, ( pendidik, pendakwah, penulis dan pemimpin haji ). PUSTAKA NASIONAL PTE LTD SINGAPURA. Cetakan ke 6, 2000 dengan pembetulan dan penambahan.
8. Fiqh Syafie’,Jilid 2, Ustaz Hj. Idris Ahmad S.H, PUSTAKA ANTARA Sdn. Bhd, Kuala Lumpur. Cetakan 2000, edisi baru.
9. Bidayatul Mujtahid, ( analisis fiqh para Mujtahid ). Jilid 2.
10. Rujukan dari kitab-kitab tafsir dan kitab-kitab al-Hadis.
No comments:
Post a Comment